KUALA LUMPUR : Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat jepun di atas pemergian bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe hari ini.

Beliau dalam kenyataannya pada Jumaat berkata Abe akan sentiasa diingati sebagai pemimpin ikonik yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Jepun menerusi dasar 'Abenomics'.

"Ketika menjawat jawatan sebagai perdana menteri, Abe telah melawat Malaysia sebanyak tiga kali dan memainkan peranan penting dalam memacu dan mempelbagaikan bagi hubungan dua hala bersama Malaysia.

"Beliau juga merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

"Abe baru-baru ini juga mewakili Kerajaan Jepun sebagai Utusan Khas Perdana Menteri bersempena dengan ulang tahun ke-40 dasar itu di Kuala Lumpur.

"Legasi dan sumbangan Abe akan sentiasa diingati," katanya.

BACA: Shinzo Abe meninggal dunia - NHK

Tambah Saifuddin menerusi perkongsian secara berasingan di media sosial, dia berharap agar keluarga mendiang dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih dan pilu ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri Shinzo Abe dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 5.03 petang (waktu tempatan) selepas ditembak di bandar Nara, barat Jepun hari ini.

Seorang lelaki berusia dalam lingkuan 40-an telah ditahan polis susulan insiden tembakan melibatkan Shinzo.