Orang ramai kini berpeluang melihat secara dekat cadangan jajaran Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) melalui pemeriksaan awam yang bermula hari ini sehingga 17 Ogos.

Bertempat di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan 23 lokasi lain di sekitar Lembah Klang, pameran bergerak itu berfungsi sebagai platform bagi orang ramai memberikan maklum balas tentang jajaran yang dicadangkan itu.

Tinjauan Astro AWANI mendapati hari pertama pemeriksaan awam bermula, ia mendapat sambutan positif orang ramai yang ingin tahu tentang laluan MRT kedua yang akan dibangunkan itu.

Pemeriksaan awam itu juga diterima baik sebagai satu cara orang ramai memberi pandangan mereka mengenai projek tersebut.

Bagi Loo Kok Weng yang tinggal di kawasan Kepong ingin tahu impak pembinaan MRT di kawasannya serta kemudahan-kemudahan lain yang disediakan bagi pengguna.

"Ini satu usaha yang baik daripada MRT Corp untuk mendedahkan kepada umum cadangan jajaran sebelum melaksanakannya. Saya juga ingin tahu apakah kemudahan lain seperti Park N Ride di stesen berhampiran rumah saya," katanya ketika ditemui di pameran pemeriksaan awam laluan MRT di ibu pejabat SPAD di Platinum Sentral, di sini pada Jumaat.

Salah seorang pengunjung, Afnil Syahriwan yang menetap di Putrajaya teruja apabila mendapat tahu laluan MRT kedua itu akan melalui kawasan perumahannya.

"Kebetulan saya memang tinggal di Putrajaya jadi saya nak tahu di mana laluan dia sebenarnya. Sekurang-kurangnya saya ada pilihan lain, selain menaiki kemudahan pengangkutan awam sedia ada saya boleh menggunakan pengangkutan awam akan datang ini," katanya.

Laluan yang dicadangkan mempunyai jarak 52.2 kilometer di mana 13.5 kilometer berada di bawah tanah Sejumlah 36 buah stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah bakal dibina.

Jajaran Sungai Buloh
Orang ramai mula berkunjung di pameran pemeriksaan awam yang bermula hari ini sehingga 17 Ogos. - Layar skrin Astro AWANI

Laluan itu juga akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di koridor yang mempunyai lebih kurang 2 juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya, dan merangkumi Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.

Laluan SSP yang dicadangkan adalah laluan kedua daripada tiga laluan MRT yang akan melengkapkan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT).

Selepas sesi pemeriksaan awam tamat dan jajaran muktamad diluluskan selepas mengambil kira maklum balas orang ramai, pembinaan laluan MRT itu dijangka bermula pada 2016 dan dijangka siap pada 2022.

Laluan SSP dijangka akan mencatat 529,000 penumpang sehari sekaligus akan terus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

Orang ramai juga boleh mengakses maklumat-maklumat projek menerusi laman web MRT Corp www.mymrt.com.my.