Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berjaya mengalahkan pencabar lain untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO bagi penggal 2018/21.

Mengikut keputusan tidak rasmi setakat pagi ini, Asyraf Wajdi berjaya mendapat 73 undi daripada 189 bahagian, meninggalkan tiga lagi pencabarnya iaitu Senator Khairul Azwan Harun (58 undi), Shahar Abdullah (56 undi), dan Datuk Seri Jamal Yunus (2 undi).

Dua lagi bahagian yang masih belum dikira undinya ialah Kelana Jaya dan Kapar.

Asyraf Wajdi dijadualkan mengadakan sidang akhbar di Menara Dato Onn, petang ini, bersama-sama dengan Naib Ketua Pemuda UMNO yang baharu, iaitu Shahril Sufian Hamdan.

Sementara itu, Khairul Azwan, dalam satu sidang media hari ini, mengucapkan tahniah kepada Asyraf Wajdi atas kejayaan beliau menjawat jawatan itu.

“Saya berharap Dr. Asyraf akan mempertimbangkan ‘reforms’ yang telah digariskan dalam manifesto saya tempoh hari iaitu meletakkan had umur Ketua Pemuda UMNO dan had umur keahlian Pemuda menjelang 2021; memperkenalkan sistem pendaftaran ahli yang lebih mudah dan pantas; dan membenarkan ahli sayap mengundi secara terus calon-calon pimpinan sayap bagi memastikan politik wang dapat dihapuskan,” katanya.



Keputusan penuh untuk kesemua jawatan pergerakan sayap-sayap UMNO akan diumumkan pada 5 petang ini, manakala hari pengundian bagi jawatan pegawai-pegawai Majlis Tertinggi, termasuk Presiden akan diadakan pada 30 Jun ini.