IPOH: Pemilik kedai dobi layan diri di Bandar Pengkalan Indah di sini, yang dikenakan kompaun RM25,000, boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sekiranya tidak berpuas hati dengan kompaun yang dikenakan.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, selain itu, pemilik berkenaan juga boleh hadir di mahkamah dan minta dibicarakan.

Menurut beliau, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dobi layan diri adalah antara perkhidmatan yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Jika Orang Kena Kompaun (OKK) tidak berpuas hati atau enggan mengaku salah, dia boleh guna dua venue iaitu buat rayuan kepada pihak PKD atau hadir ke mahkamah dan minta dibicarakan,” katanya dalam jawapan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai notis kompaun RM25,000 yang dikeluarkan kepada sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Pengkalan Indah, pada Ahad, yang tular di Twitter.

Notis itu dikeluarkan atas kesalahan menjalankan operasi dobi layan diri di dalam kawasan PKPD.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di empat mukim di Perak.

Ia meliputi Pengkalan Hulu di Daerah Hulu Perak; Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama; Hulu Kinta (Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) di Daerah Kinta dan Hulu Bernam Timur di Daerah Muallim, berkuatkuasa 22 Mei hingga 4 Jun.