KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI, mulai esok (28 Mei).

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu, boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

"Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori, akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel," menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan memaklumkan, pelaksanaan itu susulan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas, berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung.

Menurut kenyataan itu kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu ialah, pemohon merupakan warganegara Malaysia; memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.

Selain itu, kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif; dan pendapatan tahunan individu atau pasangan berjumlah RM100,000 dan ke bawah.

"Setiap permohonan diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20)," menurut kenyataan itu.

Bagi BUDI Agri-Komoditi, kriteria kelayakan adalah pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), serta pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

Menurut kenyataan itu permohonan BUDI MADANI boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my, yang akan dibuka sepanjang tahun.

"Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

"Bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024, akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan," menurut kenyataan.

Kementerian Kewangan memaklumkan BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung.

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat kelayakan BUDI MADANI, orang ramai boleh melayari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat [email protected].

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat LHDN seluruh Semenanjung.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan sama memaklumkan program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel, melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Setakat ini, hampir 90,000 Fleet Card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

Fleet Card membolehkan syarikat logistik yang layak untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak, bagi memastikan kesan kos yang minimum kepada rantaian nilai logistik dan bekalan, secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan keperluan rakyat.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata menerusi pelaksanaan BUDI MADANI, kerajaan telah memperluas bantuan tunai kepada individu dan petani kecil dan pekebun kecil komoditi, menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

"Seperti yang sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.

"Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi," katanya.

-- BERNAMA