KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang mempunyai simpanan wang dalam akaun bank di luar negara yang gagal membuat pelaporan cukai secara telus bakal berdepan tindakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata, LHDN menerima maklumat berkala daripada negara-negara luar berkaitan kewujudan akaun rakyat Malaysia di negara berkenaan.

Justera, pihaknya kini memberi tumpuan khusus bagi meneliti maklumat simpanan individu-individu berkaitan tanpa mengira status dan pangkat.

"LHDN akan meneliti maklumat individu yang menyimpan wang di luar negara yang diterima secara berkala daripada 'tax authority' seluruh dunia.

"Semakan dan risikan akan dilaksanakan bagi memastikan cukai telah dibayar terhadap simpanan yang berada di luar negara, sekiranya simpanan tersebut berpunca atau hasil daripada aktiviti di dalam negara.

"Jika ada indikasi ketidak patuhan cukai kes akan disalurkan kepada pasukan audit dan siasatan untuk tindakan lanjut," katanya ketika berucap sempena Sesi Libat Urus Bersama Media, di sini pada Khamis.

Tegas beliau, inisiatif berkenaan selari dengan matlamat LHDN bagi meningkatkan audit dan siasatan terhadap kategori pembayar yang dikenal pasti mempunyai risiko pelarian cukai.

Katanya, fokus akan diberikan terhadap individu-individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai yang dibuat.

"Di bawah undang-undang, LHDN boleh membuka kembali sesuatu kes bagi tempoh lima tahun kebelakang dan jika ada elemen kecuaian dan penipuan tiada had masa ditetapkan," katanya.

Tambah beliau lagi, LHDN juga akan memberi tumpuan khusus kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjana pendapatan melalui aktiviti dalam talian bagi mengenal pasti sama ada pelaporan cukai telah dibuat terhadap pendapatan yang diterima melalui medium tersebut.

"Pihak LHDN mempunyai maklumat dan data bagi kategori ini dan akan menghubungi mereka bagi memastikan pelaporan pendapatan telah dilaksanakan," katanya. - Sinar Harian