MELAKA: Seorang pemilik syarikat pembekalan pekerja didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas tuduhan menggunakan dokumen Borang Permohonan Program Insentif PENJANA 2.0 palsu sebagai tulen bagi syarikat miliknya.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Azmi Mat Sah, 55, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan.

Mahkamah turut menetapkan tambahan 12 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mohd Azmi didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat DRAZZ Global Resources di Jalan Kristal Merah 2, Kompleks Perniagaan Limbongan dalam Daerah Melaka Tengah, pada 5 Jun 2021.

Mohd Azmi didakwa telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama DRAZZ Global Resources bertarikh 5 Jun 2021, yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan, yang membolehkan dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat sebelum itu memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu melibatkan kepentingan awam dengan sebahagian pekerja yang didokumenkan tidak pernah bekerja dengan tertuduh.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Mohd Azmi, memohon hukuman minimum tanpa penjara dikenakan memandangkan anak guamnya itu mempunyai penyakit darah tinggi kronik dan terpaksa menanggung kerugian RM250,000 akibat menerima hampir 100 pekerja dari Sabah namun tidak dapat diberikan penempatan pekerjaan.

Azrul juga menjelaskan Mohd Azmi kini tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bekerja sebagai penceramah bebas.

Elesabet turut membenarkan wang baki sebanyak RM16,402.93 di dalam akaun syarikat tersebut dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.

-- BERNAMA