ALOR SETAR: Dua pemilik syarikat dikompaun RM25,000 setiap premis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di Mergong, di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kedua-dua syarikat berkenaan adalah bukan di bawah perkhidmatan perlu dan tidak dibenarkan beroperasi ketika PKPD.

“Pasukan pemantau COVID-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melakukan pemeriksaan di premis itu pada pukul 11.30 pagi dan mendapati kedua-dua syarikat sedang beroperasi.

"Hasil daripada pemeriksaan mendapati, dua syarikat itu menjalankan peroperasian berkaitan rokok dan vape,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 11(2) Akta 342, kedua-dua premis terbabit dikenakan kompaun RM25,000 setiap premis yang mana didapati melakukan kesalahan menjalankan premis bukan perkhidmatan perlu ketika tempoh PKPD Kota Setar.

Beliau memberi amaran kepada pemilik syarikat ataupun industri supaya merujuk kembali status pengoperasian mereka dengan Majlis Keselamatan Negara atau Pihak Berkuasa Tempatan dan jangan sewenang-wenangnya membuka premis kerana pasukan pemantau OP COVID sentiasa berlegar dan jika didapati melakukan kesalahan tindakan tegas akan dikenakan.