UMW Toyota sekali membuktikan keunggulan tahap perkhidmatan yang ditawarkan dengan dua kejayaan berdasarkan indeks khidmat pelanggan (CSI) dan indeks kepuasan pembeli (SSI) oleh J.D. Power Asia Pacific 2014 Malaysia.

Toyota berada di tangga yang tertinggi untuk CSI diantara semua jenama yang sama taraf dengannya. Mereka telah mendapat markah 777, dengan prestasi yang bagus khususnya berkenaan faktor kemudahan perkhidmatan.

Indeks khidmat pelanggan (CSI) ini adalah berdasarkan daripada maklum balas 2,610 pemilik-pemilik kereta baharu di dalam segmen ‘mass market’ yang membuat pembelian mereka di antara Februari 2012 dengan Mei 2013. Seterusnya, mereka juga telah menghantar kenderaan itu ke pusat servis yang dibenarkan di antara Ogos 2013 dengan Mei 2014.

Kajian ini mengukur kepuasan pemilik yang telah membawa kenderaan mereka ke mana-mana pusat bertauliah untuk kerja-kerja servis dan/atau baik pulih di antara 12 hingga 24 bulan yang pertama pemilikan.

Indeks kepuasan pembeli (SSI) pula berdasarkan maklum balas 2,601 pemilik baru di dalam segmen sama yang membuat pembelian di antara Ogos 2013 dengan April 2014.

Hasil daripada keputusan ini menekankan keberkesanan semangat ‘Kaizen’ ataupun kemajuan berterusan yang sudah sekian lama diterapkan di dalam falsafah Toyota. Pihak syarikat sentiasa mendengar permintaan dan keperluan pelanggan mereka.