Isu pemilikan media oleh sesebuah parti politik tidak seharusnya menjadi isu dan dibangkitkan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Rahman Dahlan berpendapat konsep kebebasan media lebih bergantung kepada kebijaksanaan seseorang wartawan itu untuk bertanyakan soalan-soalan yang mencabar minda.

Rahman memberi reaksi kepada saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh pada Isnin yang menggesa supaya syarikat media mengelak dari 'pemilikan politik' bagi mengelak laporan salah dan untuk memupuk kebertanggungjawaban.

“Dalam kebebasan media, ia bukan sahaja mengenai soal pemilikan organisasi media, tapi lebih kepada kualiti soalan yang komited, probing (menyiasat dengan mendalam) dan bertanyakan soalan yang adakalanya 'diifficult' (susah).

“Pada saya isu pemilikan media oleh parti politik tidak penting kerana, walaupun media itu dipunyai mana-mana pihak, yang penting adalah jika organisasi itu sendiri boleh tunjukkan kebebasan bersuara,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Pemilikan politik syarikat media perlu dielak - Gobind


Isu pemilikan media sering dipersoalkan, terutama sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dimana kebanyakan organisasi media didakwa berat sebelah kepada kerajaan terdahulu yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berpendapat bahawa pemilikan organisasi media oleh parti politik tidak memberi impak kepada kebebasan media.

Tambahnya, dengan kewujudan media sosial, apa-apa laporan berat sebelah akan ditangkis oleh portal berita bebas atau pengguna media sosial lain.