Negara akan sekali lagi diterajui oleh Perdana Menteri dari parti UMNO sekiranya menerima mandat daripada rakyat, kata Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, keyakinan itu adalah bersandarkan pada kedudukan parti Melayu
terbesar itu yang mempunyai ramai pemimpin berkebolehan untuk menyandang sebarang jawatan.

“UMNO mempunyai ramai tokoh yang berkeupayaan tinggi untuk sebarang tugas dan jawatan termasuk jawatan PM.

“Insya-Allah dengan dukungan (sokongan) rakyat, ada PM Umno nanti,” kata Annuar dalam ciapan di Twitter pada Ahad.


Reaksi Annuar itu sebagai merujuk kepada kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa sehingga kini tiada pemimpin daripada kalangan Umno dan Pas yang lebih berwibawa daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara.

Dalam masa sama, UMNO juga, kata Annuar, pragmatik dalam bermuafakat dan berkongsi kuasa, asalkan matlamat perjuangan demi agama, bangsa dan negara dicapai.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kini memerintah negara merupakan gabungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.

PN mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) yang runtuh selepas 22 bulan memerintah.

PH merupakan gabungan kuasa politik antara Bersatu, DAP, PKR dan Amanah yang menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.