Ahli serta pemimpin UMNO perlu berjiwa besar dengan mengambil pendekatan untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan bukannya ghairah mengejar jawatan.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata keghairahan mengejar kedudukan akan menjadikan seseorang melakukan perkara yang melanggar tatasusila parti.

"Sebagai contoh, kadang-kala berlaku pertelingkahan sesama ahli parti bersabit penentuan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Namun saya tidak menolak semua orang berminat untuk menjadi wakil rakyat bagi memberikan perkhidmatan kepada kepada masyarakat di sesuatu kawasan Parlimen atau peringkat negeri.

"Semua minat hendak menjadi wakil rakyat atau pemimpin, tetapi apakah minat itu kerana ikhlas untuk berkhidmat atau mahu menggunakan kedudukan untuk agenda peribadi," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Dalam pada itu, kata Syed Ali, UMNO tidak memerlukan pemimpin atau ahli yang rakus kepada jawatan kerana asas perjuangan parti adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Pada hemat saya, tanpa jawatan penting pun kita boleh mencurahkan khidmat bakti kepada UMNO dan rakyat, jika kita benar-benar ikhlas dalam perjuangan dan sayangkan parti.

"Ingatlah, rakyat sedang memerhati perilaku pemimpin UMNO termasuk di peringkat cawangan dan bahagian.

"Jika pemimpin UMNO menunjukkan sikap yang boleh menghakis keyakinan rakyat ianya secara tidak langsung akan memberi implikasi buruk kepada pentadbiran kerajaan," jelasnya.

Oleh sebab itu, ujarnya, pemimpin UMNO perlu menunjukkan semangat ketelusan dan kesetiaan kepada pucuk pimpinan.

"Dalam situasi sekarang, kita sewajarnya meletakkan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinannya.

"UMNO memerlukan keahlian yang sayangkan kepada parti dan setia kepada pemimpin walaupun ketika parti dilanda masalah atau krisis.

"Perbuatan khianat kepada parti dan terlalu gilakan kedudukan serta jawatan perlu dihindari bagi memastikan UMNO dipandang mulia," tegasnya.

Katanya lagi, jika gejala seperti itu berterusan berlaku, lambat laun dikhuatiri UMNO akan menjadi rosak dan akhirnya dicemuh oleh rakyat.

"Akibatnya akan berlaku serangan fitnah dan provokasi sesama ahli parti dan tidak mustahil akan berlanjutan sehingga musim PRU akan datang.

"Inilah mencetuskan persepsi negatif terhadap parti dan kepimpinannya apabila berlaku fitnah-memfitnah dan provokasi sesama ahli UMNO," katanya.

Syed Ali, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, turut menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa orang Melayu mula menjauhkan diri daripada UMNO sambil menyifatkannya sebagai serangan fitnah pembangkang.

"Semua ini mainan persepsi yang dicetuskan pembangkang dalam usaha mereka meraih sokongan rakyat menjelang PRU ke-14," ujarnya.

Syed Ali turut mempersoalkan mengapa hanya UMNO dijadikan sasaran tohmahan sedangkan parti-parti pembangkang sebenarnya mengalami penyusutan sokongan pengundi yang semakin ketara.

"Mengapa tidak ada orang nak tanya, kenapa sokongan orang Melayu terhadap PAS dan PKR mula merosot sedangkan itulah fakta sebenarnya.

"Ini semua berlaku akibat serangan media terutama media sosial yang dilakukan oleh pembangkang dan pihak berkepentingan secara terancang untuk menghancurkan UMNO.

"Ia akibat serangan fitnah yang dibuat menerusi media sosial menjadikan rakyat seolah-olah melihat UMNO sebagai parti yang bermasalah," katanya.

Sedangkan jelas Syed Ali, pada realitinya UMNO semakin kuat, kukuh dan semakin mendapat keyakinan rakyat terutama orang Melayu.