IPOH: Pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) ke Pulau Pinang dijangka tidak dapat dilakukan pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri perlu menunggu peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan loji rawatan air di daerah Kerian, Utara Perak serta pelbagai lagi proses berkaitan isu bekalan air terawat antara Perak dan Pulau Pinang.

Saarani berkata kerajaan negeri sudah mengadakan perjumpaan dengan kementerian itu bagi membincangkan projek SPRWTS pada November lepas.

"Tanpa kelulusan peruntukan itu, tiada perjanjian boleh dibuat. Sudah ada keputusan kementerian, baru kita boleh laksanakan projek, kalau ikut kehendak kita, lagi cepat lagi baguslah tapi bergantung kepada peruntukan kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak 2024 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang turut dihadiri Presidennya Datuk Adnan Mat di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ditanya mengenai permintaan Pulau Pinang yang mahu penggunaan 700 juta liter air sehari, Saarani berkata ia tertakluk kepada kecukupan pengguna domestik terlebih dahulu.

"Kalau kita tak cukup air, macam mana nak jual pada orang? Penjualan bekalan air terawat ini tertakluk kepada perjanjian," katanya.

Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa negeri itu akan menandatangani sama ada memorandum persefahaman atau perjanjian pembiayaan dengan Perak berkaitan SPRWTS pada 2024.

Skim itu adalah sebahagian daripada Pelan Kontingensi Air Pulau Pinang 2030 yang menyaksikan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membelanjakan RM1.18 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk meningkatkan bekalan air negeri kepada 602 juta liter sehari.

-- BERNAMA