'Influencer' Taiwan ditemui mati di bilik hotel bersama Namewee, diklasifikasi kes bunuh

Kes ini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. - Gambar FB Iris Hsieh
KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di ibu negara, bulan lalu, sebagai kes bunuh.
Sebelum ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut, malah portal media Taiwan turut melaporkan mangsa, Iris Hsieh yang juga bekas jururawat, dipercayai maut akibat serangan jantung.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mangsa berusia 31 tahun itu ditemukan terbaring dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu.
Difahamkan, Hsieh tiba di Malaysia pada 20 Oktober melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1).
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian itu, penyanyi rap serta YouTuber terkenal, Wee Meng Chee atau Namewee, 42, dipercayai turut berada di bilik sama dan ditahan selepas polis mengesyaki dia memiliki serta menggunakan dadah.
Hsieh memiliki lebih 500,000 pengikut di Instagram dan kerap berkongsi kandungan berkaitan gaya hidup, kecantikan serta percutian.
Disebabkan rupa paras menawan dan latar belakangnya sebagai jururawat, peminat menjulukinya sebagai Nurse Goddess.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


