KUALA LUMPUR: Pemuda Pas Terengganu bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya pihak berkuasa menyiasat program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) yang menyaksikan peserta perarakan memegang replika pedang, lembing dan perisai.

Menurut Ketua Pemuda Pas Terengganu Mohd Harun Esa, pemakaian seragam perang bersertakan replika senjata oleh peserta program hanya dibuat untuk memenuhi tema perarakan.

“Tiada istilah keganasan dan provokasi, bahkan sangat menarik apabila melihat kreativiti dari wakil kawasan-kawasan mempamerkan idea masing-masing.

“Isu pemakaian seragam perang zaman para sahabat oleh salah satu kontinjen hanyalah sebagai sebahagian daripada memenuhi tema perarakan mereka,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Ujarnya, program Himpit merupakan acara tahunan bagi menghimpunkan seluruh jentera pemuda Pas Terengganu yang diwujudkan sejak 1991.

Mohd Harun mengulas mengenai gambar dan video di media sosial yang menunjukkan peserta program berarak menggunakan replika pedang, lembing dan perisai ketika program Himpit 2023 berlangsung di Setiu, Terengganu pada Jumaat lalu.

Gambar tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial, serta menimbulkan persoalan sama ada tindakan mempamerkan senjata secara terbuka sebagai suatu bentuk provokasi.

“Walau bagaimanapun kami tetap berterima kasih kepada semua pihak yang memberi publisiti kepada program tahunan Pemuda Pas Terengganu ini secara langsung ataupun tidak.

“Kami juga sedia memberi kerjasama kepada siasatan sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa, walaupun ia kelihatan agak tidak logik sebenarnya,” kata Mohd Harun.

Program itu yang diadakan dari Jumaat hingga Sabtu turut dihadiri Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari.

The Malaysian Insight, pada Ahad, melaporkan Polis Terengganu memanggil penganjur acara berkenaan iaitu Pemuda Pas negeri untuk membantu siasatan.