Pemuda terima ganti rugi RM7.4 juta atas kecuaian perubatan

Mahkamah Tinggi menganugerahkan RM7.4 juta sebagai ganti rugi kepada seorang pemuda yang memfailkan saman terhadap sebuah hospital awam dan doktornya. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menganugerahkan RM7.4 juta sebagai ganti rugi kepada seorang pemuda yang memfailkan saman terhadap sebuah hospital awam dan doktornya.
Saman itu adalah atas kecuaian perubatan dalam rawatan, penjagaan dan pengurusan yang menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan pemuda itu dipotong, lima tahun lepas.
Hakim Datuk Su Tiang Joo menganugerahkan K. Vimal Raj, 22, RM6.4 juta dengan sebahagian besar daripada jumlah itu untuk pembelian lengan dan kaki robotik.
Vimal Raj turut menerima RM213,000 atas kesakitan dan penderitaan susulan amputasi itu, selain RM180,000 bagi penjagaan di rumah dan RM20,000 ganti rugi teruk.
Vimal Raj dan bapanya J. Krishnasamy, 51, yang merupakan plaintif kes turut dianugerahkan RM200,000 untuk kos, bagaimanapun Su tidak membenarkan pampasan untuk kehilangan pendengaran Krishnasamy selepas memutuskan tiada bukti dokumen diserahkan bagi membuktikan kes berkenaan.
Kedua-dua pihak menandatangani penghakiman persetujuan mengenai liabiliti yang diakui oleh kerajaan selaku defendan keenam pada 22 Julai 2024 manakala tuntutan terhadap semua defendan lain telah dihentikan.
Menurut pernyataan tuntutan, Vimal Raj yang ketika kejadian berumur 15 tahun, sebelum kejadian adalah remaja yang sihat, aktif dan tidak mempunyai penyakit kronik, namun pada 14 Jan 2019, bapanya menghantarnya ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital kerajaan kerana jangkitan teruk pada kulit skrotum.
Dia kemudiannya disahkan menghidap balanitis kronik, keadaan yang boleh dirawat yang biasa berlaku dalam kalangan lelaki tidak berkhatan.
Bagaimanapun, pada 23 Jan 2019, Vimal Raj yang masih tidak sedarkan diri telah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas keadaannya semakin teruk serta dalam keadaan koma.
Semasa anaknya berada di ICU, Krishnasamy menyedari bahawa jari kaki dan jari tangan anaknya telah bertukar menjadi hitam biru.
Dia segera memaklumkan kepada pegawai perubatan yang merawat anaknya untuk mendapatkan penjelasan mengenai keadaan itu, tetapi tiada penjelasan diberikan.
Disebabkan perubahan warna hitam yang teruk pada tangan kiri dan kaki kanan, yang menyebabkan kedua-dua anggota badan tidak berfungsi akibat kematian sel, seorang pegawai perubatan memaklumkan Krishnasamy bahawa untuk menyelamatkan nyawa anaknya, tangan kiri dan kaki kanannya terpaksa dipotong.
Menurut Krishnasamy, pihak hospital gagal membuat diagnosis yang tepat tentang keadaan anaknya sehingga membawa kepada amputasi anggota badan.
Keluarga itu diwakili peguam Brijnandan Singh Bhar, Datin Harwinder Kaur, Dhanesh Subramaniam Nair, Nathasha Bhar, Jasween Kaur, Keshvinder Kaur dan R. Vinushini, manakala Peguam Persekutuan Siti Asmath Che Man mewakili kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


