KUALA LUMPUR:Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyerahkan memorandum bantahan bagi menghentikan penjualan aset-aset Tabung Haji Plantation (THP) yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu bagi mendesak kerajaan supaya segera campur tangan menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP.

Katanya, usaha itu bagi menjaga kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit Tabung Haji dapat dibela dan dipertahankan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengulangi pendirian agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan salah laku dalam Tabung Haji yang sering dibangkitkan sejak zaman PH.

"Memorandum itu diserahkan kepada tiga menteri utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Haji Zulkfli Mohamad Al-Bakri.

"Sejak zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) lagi, Pemuda UMNO telah membuat pendedahan termasuk mendapati proses penjualan saham bernilai RM170 juta untuk dua anak syarikat THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada syarikat swasta Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco), mencetuskan banyak keraguan dan persoalan.

"Sehingga kini, penjelasan THP mengenai penukaran juru nilai professional bagi THP, penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh juru nilai yang baharu serta harga jualan yang jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta masih tidak memuaskan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, meskipun kerajaan telah mengarahkan THP menggunakan khidmat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan untuk membuat penilaian namun, THP didapati telah menulis sebanyak tiga kali kepada JPPH bagi merayu menurunkan nilai kedua-dua syarikat berkenaan bagi menjustifikasi harga jualan RM170 juta kepada Tamaco.

"Adalah amat mengecewakan apabila Tabung Haji Plantations masih berkeras mahu meneruskan agenda kerajaan PH lalu untuk menjual 76.2 peratus daripada jumlah keluasan aset ladang 101,019 hektar," katanya.

Berikut merupakan alasan Pemuda UMNO dalam memorandum berkenaan:

- Aset-aset tanah ladang kelapa sawit THP adalah bernilai tinggi dan mempunyai potensi untuk dimajukan kelak.

- Harga Minyak Sawit Mentah (CPO) kini di *paras tinggi iaitu purata melebihi RM3,000 bagi satu tan.

- Harga Buah Tandan Segar Sawit (FFB) juga kini berada di paras tinggi iaitu *purata melebihi RM700 bagi satu tan.

- Laporan Suku Ketiga Tahun Kewangan (3QFY2020) THP mencatatkan keuntungan sebanyak RM23.86 juta berbanding kerugian sebanyak RM40.01 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (2019).