KUALA LUMPUR: Satu pemukiman akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengambil tindakan bersepadu rentas kementerian yang bertujuan membanteras jenayah dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan tersebut dibuat susulan Mesyuarat Penyelarasan Strategik Menangani Isu Penipuan (Scam) di ibu negara pada 9 April lalu.
Advertisement
“Perincian kepada masalah-masalah khusus dapat diteliti dari sudut perundangan, perlaksanaan, termasuk kerjasama dan tindakan bersepadu merentas kementerian dan jabatan atau agensi,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri program Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya 2026 bertemakan ‘tiga serangkai satu solusi’ di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, mesyuarat tersebut akan melibatkan syarikat-syarikat telekomunikasi, Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM) dan Institut Bank-bank Malaysia (IBIM).
Fahmi menjelaskan, tindakan tersebut akan dilaksanakan hasil kerjasama erat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Tambahnya, antara isu yang diberi perhatian termasuk pinjaman wang tidak berlesen (along), sindiket penipuan pelaburan, penipuan cinta (love scam), dan lain-lain yang melibatkan perkhidmatan rangkaian serta aplikasi pemesejan.
“Jadi, ia tidak semestinya hanya berlaku di media sosial semata-mata, malah kadangkala menggunakan platform seperti WhatsApp atau Telegram,” katanya lagi.
Pada 24 Mac, Pengurus Negara Fortinet Malaysia, Kevin Wong dilaporkan berkata jumlah kerugian berkaitan penipuan di Malaysia dianggarkan mencecah RM2.7 bilion pada 2025, meningkat 76 peratus berbanding 2024.
Menurut Kevin, peningkatan itu didorong terutamanya oleh kempen pancingan data (phishing), platform e-dagang palsu serta pautan pembayaran penipuan.