Skip to main content

Malaysia

Kelab tarik diri: KBS pantau isu semasa liga tempatan

PUTRAJAYA, 18 Mac -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menjawab pertanyaan dalam temu bual eksklusif bersama BERNAMA di Menara KBS baru-baru ini.  --fotoBERNAMA (2026)
Dr Mohammed Taufiq berkata langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang konflik besar pada masa hadapan, selain memastikan keharmonian ekosistem sukan negara terus terpelihara. - Gambar fail

KUALA NERUS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memantau perkembangan semasa landskap bola sepak tempatan susulan spekulasi melibatkan beberapa kelab yang dikatakan mahu menarik diri daripada saingan Liga Super.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang konflik besar pada masa hadapan, selain memastikan keharmonian ekosistem sukan negara terus terpelihara.

Advertisement

"Kita akan sentiasa memantau (perkembangan) dan mengadakan sebarang perbincangan bagi mencari titik yang terbaik, supaya tidak berlaku sebarang konflik besar pada masa akan datang. Jadi kita perlu melihat perkara itu.

"Sehubungan dengan itu, kementerian akan sentiasa mengambil maklum serta berbincang dengan pihak berkaitan memandangkan keputusan ini dibuat oleh kelab itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Taman Laut Pulau Redang di sini hari ini.

Ketika ditanya sekiranya lebih banyak kelab lain mengambil langkah sama, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mempergiatkan rundingan bersama pihak berkaitan termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengelakkan konflik besar yang boleh menjejaskan struktur liga.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata pihaknya mengambil maklum reaksi pelbagai pihak di media sosial yang membincangkan masa depan beberapa pasukan utama negara.

"Saya melihat perkara itu sebagai keputusan kelab masing-masing. Ia mungkin merupakan langkah strategik yang diambil oleh mereka. Kita mengambil maklum dan menyambut apa juga keputusan yang dibuat kerana ia adalah keputusan kelab itu sendiri.

"Tetapi kalau ini adalah langkah strategik dari segi kewangan, dari segi apa-apa juga yang difikirkan baik maka kita menyambut ini dengan terbuka," katanya.

Pada Khamis lepas, Bernama melaporkan Terengganu FC (TFC) tidak menolak kemungkinan untuk beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata pihak pengurusan kelab kini sedang memperhalusi perkara itu yang memerlukan penelitian serta perbincangan mendalam sebelum keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata faktor dalaman khususnya kekangan kewangan menjadi antara isu utama yang terus membelenggu pasukan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video