KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjanji untuk memikul amanah dengan penuh komitmen serta berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti, selaras dengan slogan “dulu, kini, selamanya”.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerima semula beliau selepas digantung selama tiga tahun.
Advertisement
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Hishammuddin menzahirkan rasa syukur atas keputusan tersebut.
"Alhamdulillah, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menarik semula penggantungan saya selepas tiga tahun. Saya akan terus berjuang dan berkhidmat, memikul amanah dengan penuh komitmen serta berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti, dulu, kini, selamanya," katanya.
Hishammuddin turut menyambut baik pendekatan UMNO yang membuka pintu seluas-luasnya untuk menerima kembali ahli yang sebelum ini dikenakan tindakan disiplin, dipecat atau meninggalkan parti atas pelbagai faktor.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa seramai 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat telah diterima semula untuk menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi memperkukuh perpaduan dan kestabilan dalaman parti.