PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan dana tambahan RM400 juta bagi menambah bekalan vaksin negara, dan mempercepat jadual pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan pertambahan dana itu, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

Melihat kepada pencapaian sedia ada, beliau berkata, Kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat.

“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan, serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

“Anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan,” katanya melalui perutusan khas sempena pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata,  sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah pun beroperasi di seluruh negara, terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT.

Kerajaan, katanya lagi, turut menyediakan dana RM200 juta bagi pembukaan 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home.

Menyentuh mengenai elaun khas petugas barisan hadapan, Muhyiddin berkata, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran kepada 14,000 barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK.

Beliau berkata, kadar pembayaran elaun khas itu akan dinaikkan daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan, bermula Julai 2021.

Selain itu, tambahnya lagi, beliau telahpun mengumumkan peningkatan bayaran sagu hati daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan kesihatan, yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021.

Muhyiddin berkata, bayaran sagu hati tersebut akan diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin.

Tambahnya lagi, beliau telah meminta juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.

“Kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta.

“Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta,” katanya lagi.