NIBONG TEBAL: Kadar keberkesanan pemulihan banduan atau prospek dalam komuniti mencatatkan 73.3 kali ganda lebih berkesan dalam mencegah residivis atau jenayah berulang berbanding pemulihan dalam fasiliti.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata justeru, pemulihan prospek dalam komuniti diteruskan kerana ia memberi kesan positif kepada mereka.

"Ini terbukti kadar residivis iaitu 17.6 peratus untuk prospek pemulihan dalam komuniti manakala mereka yang menjalani pemulihan dalam fasiliti hanya merekodkan kadar residivis sebanyak 0.24 peratus sahaja.

"Ketika ini seramai 4,120 prospek atau 4.94 peratus daripada keseluruhan (80,000 banduan) yang berada dalam penjara sedang mengikuti pemulihan dalam komuniti melibatkan pelbagai program antaranya Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), perintah kehadiran wajib, parol dan rumah perantaraan," katanya semasa berucap sempena Program Outreach Bersama Komuniti Seberang Perai Selatan di Penjara Seberang Perai di sini pada Rabu.

Program berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) selain Program Bubur Lambuk Perdana 2024 yang disertai prospek parol dan orang bebas berlesen.

Nordin berkata Jabatan Penjara juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang telah memberi sokongan kepada pihaknya melalui Program Smart Internship (CSI) dalam memantapkan program pemulihan dalam komuniti.

Beliau berkata menerusi CSI, syarikat-syarikat itu menyediakan peluang kedua dengan menawarkan pekerjaan serta tempat tinggal kepada prospek.

-- BERNAMA