MALAYSIA
Pemulihan ekosistem dorong peningkatan populasi gajah di Mersing

Jamil Hasni berkata beliau berharap agar penduduk tempatan terus hidup secara harmoni bersama gajah tanpa memusuhi atau memprovokasi haiwan berkenaan. - Gambar Bernama
MERSING: Pemulihan ekosistem dan pemeliharaan kawasan hutan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang mendorong peningkatan populasi gajah liar di daerah Mersing.
Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah berkata faktor alam semula jadi dan hutan yang semakin baik membantu pembiakan haiwan berkenaan.
"Kalau kita lihat, daerah Mersing ini tiada pembukaan hutan dan pembalakan baharu tapi gajah makin banyak disebabkan keadaan faktor perhutanan yang lebih baik, selain (sumber) makanan," katanya selepas merasmikan program Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 di dewan Felda Tenggaroh 5 di sini hari ini.
Jamil Hasni berkata beliau berharap agar penduduk tempatan terus hidup secara harmoni bersama gajah tanpa memusuhi atau memprovokasi haiwan berkenaan."Kita (sepatutnya) menyantuni, bukannya menyekat ataupun mematikan (membunuh) gajah tapi apa yang saya maksudkan adalah kita maklum suatu masa nanti kita perlu (hidup) bersama dengan gajah.
"Selain itu, gajah juga mempunyai fungsi dalam alam sekitar seperti membuka jalan, kalau tak ada dia kita juga akan terkesan macam lembu, makan rumput kalau suatu hari lembu tak ada mungkin rumput di kawasan-kawasan tertentu akan panjang dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, Jamil Hasni turut memuji pameran dan inisiatif teknologi oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Felda, jabatan perhutanan dan badan bukan kerajaan, termasuk tayangan video Felcra mengenai keberkesanan alat frekuensi bagi menghalau gajah pada program hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu dilihat sebagai langkah yang baik dan berpotensi untuk diperluas, khususnya oleh Jabatan Kerja Raya di Mersing, memandangkan selain serangan gajah di kebun, selain daerah itu turut berdepan isu kemalangan melibatkan gajah termasuk di kawasan Endau dan Tenglu baru-baru ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata Johor akan memperkukuh kawalan dan mengambil langkah proaktif dalam usaha menangani konflik manusia-gajah yang semakin meningkat dalam tiga tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata menurut data Perhilitan, kes konflik manusia-gajah meningkat daripada 103 kes pada 2020 kepada 253 kes tahun lepas dengan daerah Kluang merekodkan jumlah aduan tertinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami