GEORGE TOWN: Penubuhan Penang Internet Exchange (PIX) adalah rangkaian digital yang memperkasakan rakyat dan berfungsi sebagai pemangkin kepada inovasi, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penyetempatan strategik pertukaran trafik Internet dalam negeri itu dijangka dapat mengurangkan kependaman rangkaian untuk pengguna Internet dan memastikan pengalaman dalam talian lebih pantas untuk semua rakyat Pulau Pinang.

"Sebelum ini, pertukaran data dalam wilayah Utara berlaku sama ada di Kuala Lumpur atau Johor. Sekarang dengan adanya PIX, masa diambil untuk pertukaran data itu akan dipendekkan.

"Kependaman sangat penting dalam industri teknologi, oleh itu, saya percaya kita boleh menarik lebih banyak pelaburan daripada perniagaan jika kita dapat menurunkannya lagi kerana mereka memerlukan perkhidmatan Internet yang cemerlang," katanya pada sidang media selepas pelancaran PIX, di sini, pada Jumaat.

Chow berkata, elemen penting dalam Visi Penang2030 adalah agar negeri ini dapat memanfaatkan dan merebut peluang dalam masa depan digital serta memperluaskan sempadannya lebih jauh dan mengambil peluang rantaian nilai global.

PIX dikuasakan oleh pengendali pertukaran Internet DE-CIX dan dengan kerjasama Digital Penang.

Ahli Lembaga Pengurusan DE-CIX Malaysia, Wong Weng Yew yang turut hadir berkata kerjasama strategik itu bertujuan merevolusikan landskap kesalinghubungan di Pulau Pinang dan melonjakkan keupayaan digital wilayah itu ke tahap baharu menerusi sambungan Internet lebih pantas, lebih berpatutan dan lebih berdaya tahan.

"Kami merancang untuk melabur kira-kira RM20 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang untuk membangunkan infrastruktur serta membina pengetahuan teknikal di sini.

"Kami menyediakan infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada Pulau Pinang pada tahun-tahun akan datang dan kami menjangkakan prestasi rangkaian penggunaan Internet akan bertambah baik secara drastik pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penubuhan pertukaran Internet di sini sejajar dengan agenda nasional kerajaan Persekutuan untuk menjadi terhubung secara digital dan berada di barisan hadapan dalam revolusi digital.

Beliau berkata, menurut kajian terkini, Asia Tenggara mengalami pertumbuhan eksponen dalam penggunaan digital dengan anggaran 350 juta pengguna Internet, oleh itu, lonjakan dalam kesalinghubungan itu mempunyai kesan langsung terhadap pembangunan ekonomi.

"Peranan PIX sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi amat penting dalam konteks ini. Penyetempatan strategik trafik Internet dijangka menarik pelaburan dan merangsang pertumbuhan teknologi, meletakkan Pulau Pinang sebagai pemain utama dalam landskap digital serantau," katanya. - BERNAMA