GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa kira-kira 300 nelayan di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, terjejas sumber pendapatan mereka berikutan pencemaran sungai dan laut akibat aktiviti ternakan udang di kawasan setempat.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata aktiviti ternakan udang telah memusnahkan ratusan hektar hutan bakau di kawasan itu ekoran pembuangan sisa dari kolam ternakan ke dalam saliran, sungai serta laut.

Beliau berkata jika sebelum ini biasanya nelayan kawasan itu memperoleh pendapatan mencecah RM200 sehari, namun kini susulan masalah pencemaran, rata-rata mengeluh apabila mereka hanya memperoleh pendapatan antara RM30 dan RM70 sehari.

"Selain mencemarkan sungai dan laut, sisa buangan dari kolam udang ini juga telah menyebabkan saliran di kawasan itu menjadi cetek akibat mendapan bahan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya CAP menggesa kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perikanan Malaysia untuk menyiasat perkara berkenaan serta mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Mohideen berkata para nelayan telah membuat banyak aduan kepada pihak berkaitan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya CAP dengan tegas membantah sebarang rancangan baharu oleh mana-mana pihak untuk meneroka hutan paya bakau di kawasan setempat bagi melaksanakan projek ternakan udang kerana ia boleh memberikan kesan yang lebih buruk kepada alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan.

-- BERNAMA