Skip to main content

Malaysia

Pencemaran Batu Ferringhi- IWK nafi dakwaan sebagai penyumbang utama

41368699785_295x200.jpg
Susulan pencemaran pantai Batu Ferringhi, Indah Water Konsortium SDN BHD (IWK) menafikan syarikat itu antara penyumbang utama berlakunya pencemaran sebahagian pantai di kawasan peranginan  itu.

Sebaliknya menurut syarikat tersebut, mereka menjalankan operasi mengikut piawaian yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi  IWK, Shahrul Nizam Sulaiman juga menegaskan sisa kumbahan yang dilepaskan di kawasan perairan adalah selamat dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara itu.

Tambahnya, pihak IWK sendiri telah menghantar sampel air dari saluran paip dan juga pasir dari loji olahan kumbahan ke Universiti Sains Malaysia(USM) untuk dianalisa.

Pihaknya juga akan menghantar keputusan analisa itu ke Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA ) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kami telah menjalankan proses mengikut standard dan prosedur  yang ditetapkan  dimana kami perlu memenuhi piawaian  dibawah peraturan alam sekitar,” kata Shahrul.

Justeru, pihaknya berharap sebarang spekulasi berhubung isu pencemaran membabitkan IWK dihentikan sehingga keputusan mengenai punca pencemaran diumumkan kelak.

Shahrul Nizam berkata demikian selepas sesi lawatan bersama media di loji olahan kumbahan IWK di Batu Ferringhi hari ini.

IWK sebelum ini diminta memberi penjelasan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berikutan pencemaran sebahagian pantai Batu Ferringhi yang menyebabkan air laut bertukar hitam dan berbau didakwa berpunca daripada saluran paip liji kumbahan milik IWK.

Malah siasatan awal mendapati IWK adalah penyumbang utama berlakunya masalah pencemaran terbabit.

Isu pencemaran sebahagian air laut di pantai Batu Ferringhi yang dilaporkan media sejak Isnin lepas mendapat perhatian umum memandangkan kawasan berkenaan popular sebagai destinasi pelancongan.

Maklumat awal yang diperolehi JAS mendapati adanya elemen bakteria (escherichia coli) e-coli dalam sampel air yang diambil dari sungai Batu Ferringhi.

Advertisement

Must Watch Video