KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,335 kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor, malam tadi.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, empat loji rawatan air tersebut ialah LRA Rantau Panjang serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).

"Berikutan henti tugas LRA Rantau Panjang, LRA SPP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3 ini, lapan (8) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279 kawasan), Hulu Selangor (28 kawasan), Klang dan Shah Alam (189 kawasan), Kuala Langat (3 kawasan), Kuala Lumpur (186 kawasan) dan Kuala Selangor (280 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," kata kenyataan itu.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.