SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan berlaku pencemaran bau di lokasi pemantauan statik 1.5 kilometer (km) daripada muka sauk Jenderam Hilir pada jam 6.30 petang Sabtu.

Kejadian Pencemaran bau di muka sauk itu sekali lagi berlaku dalam tempoh seminggu selepas masalah sama menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Sungai Tampoi terpaksa dihenti tugas pada 24 Disember lalu.

LUAS dalam kenyataannya memaklumkan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah dimaklumkan untuk sebarang kemungkinan dan persediaan LRA.

"Pemantauan rapi sedang dilakukan oleh LUAS dengan kekerapan pensampelan bau setiap 15 minit," kata kenyataan itu.

Menurut LUAS, bacaan terkini sehingga jam 8.45 malam Sabtu mencatatkan satu ton.

Sehubungan itu, kenyataan itu memaklumkan, LUAS meningkatkan jumlah activated carbon (AC) yang diletakkan di lokasi dan telah memulakan pemantauan rapi di Sungai Limau Manis yang mengalir masuk ke Sungai Semenyih.

"Penemuan ini sejurus situasi hujan lebat petang tadi yang mana aliran sisa yang tersangkut dan terserap di persekitaran kawasan tumpahan tempoh hari serta jajaran sungai di luar kawasan negeri Selangor terlarut bersama air hujan yang seterusnya mengalir masuk ke Sungai Semenyih di Selangor.

"Dengan keadaan semasa cuaca dan aliran deras sungai, aliran tercemar dijangkakan 'flush' dan 'dilute' di dalam tempoh tiga hingga ke empat jam," jelas kenyataan itu.


Artikel asal di Sinar Harian