Pencemaran Sungai Johor: 200,000 akaun pengguna terjejas - Ranhill SAJ

Kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor. - Bernama
JOHOR BAHRU: Sebanyak 200,000 akaun pengguna di beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak terancang akibat pencemaran Sungai Johor, sejak semalam.
Ranhill SAJ dalam kenyataan memaklumkan tahap pencemaran air mentah Sungai Johor terus dipantau bagi membolehkan semua Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi pada tahap optimum.
Menurut operator air Johor itu, LRA Linggiu di Kota Tinggi kembali beroperasi sepenuhnya manakala LRA Semangar pula dijangka pulih secara berperingkat hari ini.
"Pemantauan dan usaha pemulihan telah dilakukan sejak pencemaran mula dikesan semalam. Semua anggota yang bertugas di lapangan turut melakukan pemeriksaan di 'intake' sungai dan membekalkan bantuan air alternatif ke lokasi terjejas, " menurut syarikat itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Syarikat itu memaklumkan pihaknya terus komited dalam memastikan penduduk di kawasan terjejas terus menerima bekalan air alternatif dengan lancar dan berjadual.
"Sebarang pertanyaan mengenai bantuan lori tangki boleh menghubungi hotline 1800-88-7474. Segala kesulitan amat dikesali dan kesabaran anda amat dihargai," menurut operator air Johor itu.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU, susulan insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi.
Beliau berkata kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor.
Antara operasi dijangka terjejas ialah LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor serta LRA PUB (Singapura), sekali gus menyebabkan beberapa kawasan mengalami gangguan sementara bekalan air tidak terancang, termasuk Senai, Skudai, Seelong, Felda Linggiu, Petri Jaya dan Lima Kedai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


