Pencemaran Sungai Johor: Agensi berkaitan diarah siasat, ambil tindakan tegas

Akmal Nasrullah berkata kertas siasatan itu dijangka selesai dalam masa sebulan sebelum dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya. - Gambar Pejabat Timbalan Menteri PETRA
KOTA TINGGI: Kerajaan mengarahkan agensi dan jabatan berkaitan supaya mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran Lembangan Sungai Johor hingga menjejaskan hampir 1.8 juta penduduk di Johor.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 121 susulan pencemaran yang mengganggu bekalan air hingga menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA).
Beliau berkata ini kerana pencemaran yang berlaku telah menyebabkan empat LRA ditutup secara berperingkat membabitkan LRA Semangar, Linggiu,Tai Hong dan Sungai Johor.
"Mengikut Seksyen 121, maksimum penalti sebanyak RM15 juta dan penjara maksimum 15 tahun boleh dikenakan terhadap pesalah, yang mencemarkan sumber air hingga menyebabkan penutupan loji bekalan air," katanya pada sidang media ketika melawat LRA Sungai Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata kertas siasatan itu dijangka selesai dalam masa sebulan sebelum dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Akmal Nasrullah berkata pihak kementerian juga telah mendapatkan komitmen dari semua jabatan dan agensi berkaitan termasuk SPAN, Badan Kawal Selia Air Johor, Ranhill SAJ dan Jabatan Alam Sekitar dalam melakukan mitigasi bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Beliau berkata sebanyak 455,757 pemegang akaun atau hampir 1.8 juta penduduk terjejas secara berperingkat akibat pencemaran yang berlaku pada Jumaat lepas.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 54 peratus pemegang akaun telah kembali menerima bekalan air, sekali gus menjelaskan jangkaan pulih sepenuhnya secara berperingkat dalam tempoh antara lapan hingga 12 jam.
Selain itu, tiga LRA iaitu LRA Semangar, Sungai Johor dan Linggiu juga telah beroperasi 100 peratus, sementara LRA Tai Hong dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 tengah hari.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata kolam cucian pasir pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi.
Beliau berkata kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan itu pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor.
Ia sekali gus menyebabkan paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


