Kerajaan negeri Selangor perlu lebih serius terhadap masalah pencemaran sungai yang berlaku di Selangor.

Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata keadaan sungai menjadi semakin lesu akibat terdedah kepada pencemaran, ditambah lagi ketidakcekapan kerajaan negeri mengawal pertumbuhan kilang-kilang haram serta lemah dalam menguatkuasakan undang-undang.

Dalam kenyataan pada Khamis, beliau berkata walaupun akta seperti Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dikatakan mencukupi, namun ia tidak berguna jika kerajaan Selangor hanya memberi amaran sekadar melepaskan batuk di tangga.

Katanya tindakan tegas harus diambil dengan segera supaya pencemaran dan gangguan bekalan air tidak membebankan pihak lain terutamanya rakyat.

"Mungkin denda maksimum RM100,000 dan penjara lima tahun ini dipandang enteng oleh individu atau pihak yang degil. Jadi kita sarankan kepada kerajaan supaya menaikkan denda maksimum sehingga RM1 juta dan 10 tahun penjara agar dipandang lebih serius.

"Hargailah sungai kita kerana pelbagai hidupan termasuk kita perlu bergantung terhadap sumber dari sungai ini," katanya.

Selasa lepas, sebuah premis di Batu 22 1/4 di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, disita kerajaan negeri selepas dikenal pasti menjadi punca pencemaran Sungai Semenyih.

Pencemaran itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih terpaksa ditutup selama empat kali baru-baru ini sehingga beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air.

LRA Semenyih bagaimanapun kembali beroperasi mulai 10 pagi kelmarin.