Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang Johor telah didapati tercemar dengan bahan kimia sejak tahun 2016 lagi.

Menurut Ahli Persatuan Saintis Muslim Malaysia, Prof Dr Mohamad Pauzi Zakaria, sungai yang kini menjadi tumpuan negara itu, satu ketika dahulunya jernih.

“Sungai Kim Kim bukan lagi sungai yang jernih seperti dahulu, sebenarnya tidak ada organisma yang hidup dalam sungai tersebut sekarang," ujarnya.


Menurutnya, sungai itu akan bersih sekiranya ada organisma lain seperti udang dan ikan yang hidup di dalamnya, namun beliau dapati tidak ada organisma seumpamanya yang menjadikan Sungai Kim Kim sebagai habitat yang boleh dijadikan sebagai petanda sungai itu bersih.

Beliau sendiri telah bertemu pernah bertemu dengan penduduk setempat dan mendapati sungai tersebut hidup dalam 30 tahun lalu, namun sungai itu sudah mati disebabkan ekosistem yang rosak akibat daripada pencemaran yang sering berlaku.

Bahan cemar yang dikaji beliau pada tahun 2016 itu adalah bahan kimia yang mampu bertahan lama di alam sekitar.

“Ia bukan bahan yang boleh meruap dan hilang begitu sahaja, namun ia tersimpan di dasar sungai dan boleh dimobilisasi oleh arus sungai atau sekiranya berlaku hujan lebat.”

Beliau rasa pembersihan sekarang hanyalah sekadar permulaan sahaja dan sekiranya ingin membersihkan secara keseluruhan, ia akan mengambil masa yang lama.


Ini adalah kerana bahan-bahan kimia tersebut sudah bercampur gaul dengan tanah dan air yang berada di dalam sungai itu.

Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat perlu mengambil inisiatif untuk menghentikan masalah ini dengan menangani daripada peringkat sumber lagi.

“Kalau kita bersihkan sungai itu tetapi kita masih lagi membuang sisa dalam sungai tersebut, tiada guna kita bersihkan sekarang.

“Dalam masa seminggu kita akan lupa dan sungai itu akan kembali tercemar kerana kita tidak ada sistem yang bagus di mana kita boleh mengenal pasti sumber pencemaran itu,” ujarnya lagi.