SUNGAI PETANI:Tujuh lelaki termasuk penyelia tapak projek dan kontraktor direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian tumpahan diesel yang mengakibatkan pencemaran Sungai Muda, Sik pada Khamis.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Sungai Petani, Muhammad Alif Abd Aziz terhadap semua mereka bermula hari ini sehingga 19 November.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka terdiri daripada dua kontraktor, seorang penyelia tapak dan empat buruh Indonesia berusia antara 27 hingga 38 tahun.

"Polis menerima laporan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah berhubung pencemaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Jeniang yang disebabkan tumpahan diesel di Sungai Muda pada Khamis.

"Hasil siasatan awal mendapati pencemaran sungai dipercayai berpunca daripada tapak projek memasang paip terletak kira-kira 100 meter dari loji itu.

"Terdapat tiga tong berisi diesel untuk kegunaan jentera jengkaut dan generator di tapak projek berkenaan.

"Siasatan turut menemui kesan diesel di tanah bawah tong dan dipercayai mengalir ke tali air yang bersambung ke Sungai Muda. Kita juga dapati tiada penghadang atau benteng pasir yang dibuat kontraktor yang membolehkan sisa serta tumpahan minyak mengalir ke saliran," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, semua tujuh suspek terbabit ditahan pada Jumaat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan; Kesalahan Kawalan Pencemaran Seksyen 29(2) Enakmen Sumber Air Kedah 2008 dan Seksyen 25 Pencemaran Air Akta Alam Sekeliling 1974.

BACA: Gangguan bekalan air di Sik, Kuala Muda dijangka pulih petang ini - Exco

Khamis lepas, Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan 34,200 akaun pengguna di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan bekalan air susulan tiga LRA dihentikan operasi kerana pencemaran akibat tumpahan diesel.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran Kedah, Datuk Suraya Yaacob, mengesahkan gangguan bekalan air membabitkan 136,800 pengguna itu berpunca daripada tumpahan diesel di tapak projek berkenaan.

"Tumpahan diesel daripada tapak projek telah mengalir ke tali air yang bersambung ke Sungai Muda yang merupakan sungai utama bagi membekalkan sumber air mentah ke loji pemgambilan air atau muka sauk berdekatan.

"Kejadian itu telah menyebabkan berlaku pencemaran air dan menjejaskan kualiti air mentah sekali gus memaksa SADA menghentikan operasi sementara tiga loji rawatan air (LRA)," katanya.