RAWANG:Loji Rawatan Air Sungai Selangor bagi Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas serta-merta berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor.

Pemerhatian Astro AWANI ke lokasi kejadian mendapati, punca pencemaran dikesan di Sungai Gong selepas mendapati air dari saluran longkang ke sungai itu berwarna merah.

Selain itu, berdasarkan tinjauan di Sungai Gong juga mendapati terdapat bau busuk seperti bahan kimia turut dikesan di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan pihak berkuasa kerana ia masih lagi dalam siasatan.

Difahamkan, pihak berkuasa seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi tujuan penyiasatan.

Dalam masa sama, pensampelan bau yang dijalankan di muka sauk Rantau Panjang, kawasan Inlet dan Outlet Kolam Tebatan Banjir Sungai Gong turut dibuat bagi mengesan pencemaran berkenaan.

Sementara itu, sebagai langkah pencegahan awal, pihak berkuasa telah melakukan kerja-kerja pembersihan termasuk memasukan palm shell carbon bagi mengurangkan kadar bau.

Pencemaran sungai itu dikesan kira-kira pukul 2 pagi tadi dan tindakan henti tugas keempat-empat loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sehubungan itu, Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.