SHAH ALAM:Tahap pencemaran di Sungai Selangor dijangka pulih petang ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia berdasarkan perkembangan semasa bacaan kadar pencemaran di sungai tersebut.

"Kadar pencemaran kini mencatat bacaan 1 TON (Nombor Bau Nilai Ambang) dan bekalan hanya akan mula disalur selepas bacaan mencecah 0 TON.

“Mengikut trend perkembangan bacaan semasa, pencemaran dijangka akan pulih pada petang ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu.

"Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran. Siasatan sedang dilaksanakan," kata Amirudin.

Tambah beliau, sebanyak 81 lori tangki air, 34 tangki statik dan 17 Pusat Khidmat Setempat telah digerakkan oleh Air Selangor untuk kegunaan para pengguna yang terlibat.


 
Sumber Facebook amirudinbinshari

Satu lagi insiden pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi ini, menurut kenyataan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Susulan itu, arahan henti tugas telah dikeluarkan untuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Henti tugas keempat-empat loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan.

BACA: Lagi kes pencemaran Sungai Selangor, 1,292 kawasan alami gangguan bekalan air

Ia melibatkan pengguna di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pada masa sama, Air Selangor memaklumkan, pemulihan setakat jam 2 pagi ini untuk insiden henti tugas separa LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) berikutan kes paip air pecah pada Sabtu telah mencapai kadar 80 peratus.