SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan mahasiswa menerusi pelancaran Pitstop HEP @ Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) serta Dapur Ehsan UiTM, sebuah inkubator keusahawanan sulung yang dibangunkan hasil kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Inisiatif berkenaan memperkenalkan pendekatan bersepadu yang menggabungkan sokongan kebajikan, peluang penjanaan pendapatan dan pembangunan keusahawanan, sekali gus memperluas fungsi kampus sebagai ekosistem pemerkasaan ekonomi mahasiswa.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Young Engineer Creative Centre (YECC), FKA UiTM Shah Alam itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Selagro Solutions Sdn Bhd, Pongot Sajab; Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd, Md Fazir Abdul Latif serta Ketua Pegawai Eksekutif Ar-Rizqi Fortune, Ariifien Ismail.
Menurut Mohd Sazili, usaha memperkasa kesejahteraan mahasiswa tidak seharusnya terhad kepada penyediaan bantuan asas semata-mata, sebaliknya perlu membuka ruang kepada pelajar membangunkan potensi diri dan meningkatkan keupayaan ekonomi secara berterusan.
“Kesejahteraan mahasiswa bukan sekadar memastikan keperluan asas mereka terbela, tetapi turut membuka peluang menjana pendapatan, membina kemahiran dan membentuk jiwa keusahawanan agar mereka mampu berdikari sejak di bangku universiti,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan PKPS yang merupakan badan berkanun Kerajaan Negeri Selangor mencerminkan sinergi strategik antara universiti, agensi kerajaan negeri dan industri dalam usaha membangunkan potensi keusahawanan belia.
Pitstop HEP merupakan antara inisiatif utama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM yang menyediakan ruang rehat, kemudahan sokongan serta akses kepada makanan dan minuman ringan secara percuma untuk mahasiswa, khususnya golongan yang berdepan kekangan kewangan.
Melalui pelaksanaannya di FKA, inisiatif itu kini diperluaskan dengan pengintegrasian aktiviti keusahawanan dan peluang pekerjaan sambilan selaras dengan aspirasi MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kementerian Pendidikan Tinggi.
Pendekatan berkonsepkan earn while you learn itu membolehkan mahasiswa menjana pendapatan sambil meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan.
Sementara itu, pelancaran Dapur Ehsan UiTM menandakan permulaan Inkubator Keusahawanan MASMED di FKA yang dipilih sebagai fakulti perintis.
Menerusi program itu, mahasiswa diberi tanggungjawab mengendalikan operasi perniagaan sebenar merangkumi pengurusan stok, kewangan, pemasaran serta perkhidmatan pelanggan dengan bimbingan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM serta sokongan PKPS.
Menurut UiTM, pengalaman berkenaan diyakini mampu membentuk keyakinan, disiplin dan kemahiran membuat keputusan dalam kalangan mahasiswa sebagai usahawan muda.
Inisiatif tersebut juga selari dengan aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan pembangunan graduan berdaya saing, inovatif dan berciri keusahawanan.
Dalam perkembangan sama, kiosk We Drink yang beroperasi melalui kerjasama Ar-Rizqi Fortune turut menyediakan peluang pekerjaan sambilan serta latihan praktikal kepada mahasiswa daripada golongan asnaf dan keluarga B40 dalam bidang perniagaan minuman dan ais krim.
Melalui pendedahan langsung kepada operasi perniagaan, mahasiswa berpeluang membangunkan kemahiran komunikasi, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk sikap berdikari sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi selepas tamat pengajian.
UiTM berharap model kerjasama melibatkan universiti, kerajaan negeri dan industri itu dapat menjadi contoh dalam memperkukuh kesejahteraan mahasiswa serta melahirkan generasi muda yang berjiwa usahawan dan mampu mencipta peluang ekonomi sejak di bangku universiti.