KUALA LUMPUR:Kadar pencemaran di Sungai Selangor sudah mencapai bacaan 0 TON (Nombor Bau Nilai Ambang) sehingga jam 2 petang Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang bagaimanapun belum boleh beroperasi sepenuhnya.

Suhaimi berkata ia kerana bacaan 0 TON itu mesti direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.

“LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang tidak dapat beroperasi sepenuhnya berikutan pencemaran air mentah yang berlaku di Sungai Selangor.

“Sehingga jam 2 petang, kadar pencemaran yang berlaku di Sungai Selangor mencatatkan 0 TON.

“Bagaimanapun, bacaan masih tidak konsisten pada tahap 0 TON apabila diuji sebanyak tiga kali berturut-turut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Beliau berkata punca pencemaran belum dapat dikenal pasti.

BACA: Pencemaran Sungai Selangor: Air dari saluran longkang ke Sungai Gong berwarna merah

BACA: Pencemaran Sungai Selangor: Kilang haram antara cabaran pantau pencemaran - Tuan Ibrahim


Katanya, Air Selangor tidak dapat menghasilkan 2,700 juta liter air sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan disebabkan penghentian tugas di loji-loji terlibat.

“Air Selangor akan mengumumkan jadual pemulihan setelah LRA mula beroperasi.

“Air Selangor telah menggerakkan 91 lori tangka ke premis-premis kritikal dan juga kawasan perumahan yang terjejas.

“Sebanyak 34 tangki statik, 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 21 paip awam telah disediakan untuk membantu pengguna yang terjejas,” ujarnya.

BACA: Pencemaran Sungai Selangor: LRA Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang dijangka mula beroperasi petang ini


Beliau juga menasihati pengguna untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada paip awam kerana bantuan menggunakan lori tangki akan memberi keutamaan kepada kawasan kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat dan bantuan air bersih di PKS yang disediakan.

“Kami menasihati pengguna untuk mematuhi garis panduan PKPB (Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat) apabila mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki air dan paip awam yang disediakan,” tambahnya.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku melibatkan lebih satu juta akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ia berikutan LRA Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas ekoran terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.