KUALA LUMPUR: Pencen seorang Ahli Parlimen jika digabungkan dengan jawatan-jawatan yang dipegang sepanjang perkhidmatannya dianggarkan menjangkau RM100,000 sebulan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas- Muar) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberitahu, lebih lama perkhidmatan seseorang Ahli Parlimen itu maka lebih tinggi bayaran pencen yang diperoleh mereka kerana pembayaran itu tidak mengambil kira statik gaji.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan perkara terbabit dan digabungkan bersama perbincangan mengenai isu Akta Pembiayaan Dana Politik.

"Pencen bagi wakil rakyat, menteri bukan satu. Ada pencen bagi Ahli Parlimen, bagi Senator Dewan Negara, pencen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker, timbalan menteri, menteri dan Perdana Menteri tidak disatukan.

"Jika kamu Ahli Parlimen yang berkhidmat sebagai Exco, ADUN, menteri bukan pencen berasingan, kalau digabungkan ia boleh menjangkau RM100,000 sebulan jika kamu berkhidmat dalam banyak kedudukan," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.



Berapa gaji, elaun dan pencen menteri? - Syed Saddiq

Dalam pada itu, Syed Saddiq  menambah, gaji seorang menteri adalah kira-kira RM55,000 sebulan dan tidak  termasuk beberapa insentif lain seperti sebuah rumah di Putrajaya, Permit Import (AP) untuk dua buah kenderaan, nombor pendaftaran kereta, sebidang tanah di Putrajaya dan elaun percutian boleh melebihi RM100,000 hingga RM200,000 kepada mereka yang sudah berkeluarga setiap tahun.

"Bukan itu sahaja apabila dihentikan dapat gratuiti persaraan sehingga RM1 juta hingga RM2 juta kerana pembayaran tidak dilakukan berdasarkan tempoh berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bukan sebagai menteri.

"Maksudnya jika kamu Ahli Parlimen empat hingga lima penggal dan sekiranya kamu berkhidmat sebagai menteri meskipun satu hari sekalipun kamu akan mendapat gratuiti melangkau RM1 juta.

"Saya berharap kerajaan yang bertukar tiga kali dan ada menteri yang kekal tiga kali, adakah gratuiti hanya sekali atau setiap kali dia berhenti akan dapat RM1 juta," soalnya.