KUALA TERENGGANU: Penceramah bebas yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengenai kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Suffian Sulaiman berkata ia susulan tempoh tahanan reman ke atas lelaki berusia 61 itu berakhir hari ini.

"Polis sedang melengkapkan kertas siasatan mengenai kes itu termasuk merekodkan keterangan daripada saksi-saksi lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan penceramah itu ditahan di Balai Polis Ajil di Hulu Terengganu ketika hadir memberi keterangan dua hari lepas, dan suspek dikatakan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berumur lima tahun, yang juga merupakan anak rakan penceramah itu di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu.

Kejadian dipercayai berlaku pada Mac lepas ketika kanak-kanak itu mengikuti keluarganya yang menyertai satu program yang diadakan suspek di rumah bot berkenaan.

-- BERNAMA