PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggerakkan pasukan 'flying squad' bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), khususnya di kawasan pedalaman.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pasukan tersebut akan digerak dari minggu ke minggu ke kawasan tertentu berdasarkan prestasi kemas kini pendaftaran pada minggu pertama, yang bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

Ujarnya, pendaftaran PADU juga boleh dilakukan di Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atau Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

"Kerjasama dalam pembekalan dan pengemaskinian maklumat serta data terkini dalam PADU akan dapat membantu kerajaan dalam menyasarkan semula subsidi, sekali gus akan dapat mengoptimumkan sumber dan mengukuhkan kemampanan fiskal.

"Inisiatif ini merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memastikan manfaat limpahan ekonomi dapat dirasai secara adil dan saksama oleh segenap lapisan rakyat," katanya di sini pada Selasa.

Beliau berucap pada Majlis Peluncuran PADU di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; serta Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Berucap lanjut, Rafizi berkata PADU akan dapat membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dan mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.

Jelas beliau, kaedah pengukuran tersebut mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

"Pendekatan ini juga membolehkan Kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan," ujar Rafizi.

Dalam masa sama, Rafizi menambah pembangunan PADU turut mengambil kira segala aspek berkaitan risiko keselamatan sistem dan kebocoran maklumat terperingkat.

Bagi memastikan pengendalian data yang selamat, Ahli Parlimen Pandan itu berkata prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif diwujudkan.

Di samping itu, kerjasama strategik turut diadakan antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah kebocoran data serta memastikan perlindungan data peribadi.

"Kerajaan juga melantik Kumpulan Pakar Bebas yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang berperanan melakukan semak dan imbang dalam memastikan pembangunan PADU memiliki ciri-ciri keselamatan yang terkini dan terbaik," kata Rafizi.