Masih tiada maklumbalas diterima dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung pendaftaran Pakatan Harapan sebagai sebuah pertubuhan politik, menurut Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, walaupun pihaknya bercadang untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, beliau tiada di Dewan Rakyat hari ini.

"Setakat ini, tiada maklumbalas dari RoS. Tiada penolakan atau penerimaan kelulusan.

"Kita bercadang untuk berjumpa menteri (Ahmad Zahid) tetapi menteri tiada," katanya pada satu sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan akan mengetuai satu delegasi ke Kementerian Dalam Negeri berhubung isu kelewatan pendaftaran Pakatan.

Pakatan membuat permohonan pendaftaran kepada RoS pada 24 Julai lalu.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, Pakatan akan melakukan satu majlis pemukiman Majlis Presiden di Kuala Lumpur pada awal Disember nanti.

"Pemukiman ini memberi peluang kita bertukar-tukar idea dan menentukan pendekatan apa yang ingin diambil menjelang Pilihan Raya Umum ke-14," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di pejabat tersebut.