DOKTOR ketika ini sedang mengenal pasti jenis asid yang disimbah kepada pemain kebangsaan, Faisal Halim, pada Ahad.

Berkongsi perkara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan, doktor mahu melihat sejauh mana kekuatan asid itu.

Malah, beliau berkata, kesan asid itu juga amat teruk dan beberapa pembedahan lagi akan dilalui Faisal dalam masa terdekat.

"Simbahan asid itu terkena sedikit di muka tetapi yang paling teruk di badan. Asid itu doktor nak tahu kesannya.

"Doktor tengah tengok sebab tindak balas asid itu makin kuat. Nak tahu sejauh mana kekuatan asid ini sama ada makan dalam atau macam mana," katanya dalam temu bual dengan Sukan Sinar di Wisma FAM Kelana Jaya semalam.

Faisal disimbah asid ketika membawa keluarganya ke pusat membeli belah di Damansara sehingga menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap dua.

Dia juga sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam dan sudah menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam.

Polis Diraja Malaysia juga mengesahkan sudah menahan seorang suspek pada Isnin bagi membantu siasatan. - Sinar Harian