KUCHING: Tempoh pendaftaran pendatang asing oleh majikan bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) Sarawak dilanjutkan hingga 30 Jun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau memaklumkan tempoh verifikasi serta pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara turut dilanjutkan, masing-masing hingga 30 Sept dan 31 Dis ini.

"Lanjutan tempoh ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10, Bilangan 1 Tahun 2024," katanya.

Berikutan keputusan itu, Gerawat menasihati majikan untuk mengambil peluang mendaftar pendatang asing sedia ada di Sarawak yang bekerja di sektor yang terlibat secara sah bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.

"Bagaimanapun, permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program ini," katanya.

Sebelum ini, pendaftaran program RTK 2.0 Sarawak dilaporkan tamat pada 31 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA