Skip to main content

Malaysia

Pendaki hilang: Pencarian masuk fasa kritikal, bomba yakin Jaslinda dapat bertahan

TAPAH, 28 Mei -- Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon (kiri) mendengar penerangan dari Malim Perhutanan Negeri Perak Muzafar Mohamad (kanan) ketika hadir pada sidang media dan meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh, di sini, hari ini.  Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, di sini, pada 23 Mei lalu, akan memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, diperca
Sayani meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh, di sini hari ini. - Gambar/ Bernama

TAPAH: Keadaan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lepas, dijangka memasuki fasa kritikal ketika ini selepas tempoh kehilangan melebihi 72 jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pada ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dipergiat termasuk menambah keanggotaan dan memperluas pencarian ke kawasan kemungkinan mangsa mencari sumber makanan dan air.

Sehubungan dengan itu, SAR akan memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, dipercayai menjadi laluan mangsa untuk mendapatkan sumber air.

“Kita boleh katakan pada ketika ini adalah ‘tempoh kritikal’ namun dengan pengalaman yang ada pada mangsa, dia akan terus bertahan sementara SAR dijalankan.

“Kita percaya dia akan cuba mencari sumber atau punca air untuk terus bertahan, dan berkemungkinan besar bergerak ke Sungai Ayer Busok iaitu lokasi berdekatan dengan Gunung Batu Putih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh, di sini hari ini.

Sayani berkata sebanyak 36 anggota pasukan digerakkan oleh JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu hari ini, yang turut dibantu Pasukan Gerak Am, Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Beliau berkata bomba telah membuka satu winching point di Kem Salai Matahari yang dianggarkan berkeluasan 100 kaki persegi telah diusahakan bagi memudahkan tindakan lanjut sekiranya pergerakan  menggunakan pesawat udara diperlukan. 

Menurut beliau, ia bertujuan memudahkan pergerakan keluar dan masuk pasukan penyelamat kerana winching point sedia ada iaitu di Puncak Bukit Batu Putih dan Puncak Bukit Berapit 2 memakan masa perjalanan yang jauh ke lokasi pencarian.

Sayani turut berkata keadaan muka bumi yang curam dan berbukit di lokasi berkenaan menjadi cabaran utama pasukan penyelamat selain perjalanan ke beberapa lokasi pencarian memakan masa antara tujuh hingga lapan jam.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement