KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan bagi kes salah guna kedudukan berhubung Projek Jana Wibawa yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membantah permohonan pembelaan untuk menangguhkan kes itu sehingga rayuan difailkan bekas perdana menteri itu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata ini berikutan kes salah guna kedudukan Presiden Bersatu itu bermula di Mahkamah Sesyen dan masih kekal di mahkamah itu selepas ia diperintahkan dikembalikan semula oleh Mahkamah Rayuan pada 28 Feb lepas.

"Rayuan tertinggi bagi kes di Mahkamah Sesyen adalah di Mahkamah Rayuan sahaja mengikut Seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Pihak pendakwaan akan membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan prosiding kes ini sehingga rayuan didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan," katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memaklumkan pihaknya telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 29 Feb lepas untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan itu.

"Kami memohon untuk menangguhkan dan akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan sementara prosiding kes salah guna kedudukan ini (yang kini sedang didengar di hadapan Azura)," katanya.

Azura kemudian menetapkan tarikh 3 April ini bagi sebutan kes untuk mengetahui perkembangan rayuan berkenaan.

Pada 28 Feb lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan berkenaan pada 15 Ogos 2023.

Muhyiddin, 76, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

-- BERNAMA