KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pendakwaan terhadap Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bukan hanya bersandarkan kepada lima laporan polis yang dibuat oleh bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu di luar negara.

Datuk Masri Mohd Daud, 55, iaitu Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes tersebut pada 2015, berkata pendakwaan terhadap Khairuddin juga dibuat berdasarkan keterangan lain.

"Saya tidak bersetuju dengan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mencadangkan bahawa pertuduhan itu adalah kerana (Khairuddin) melakukan sabotaj sebaliknya ia adalah cubaan melakukan sabotaj.

"Saya juga tidak dapat memastikan sama ada terdapat atau tidak peranan pihak perbankan dalam kes ini untuk membuktikan bahawa terdapat sebarang sabotaj terhadap institusi perbankan," kata saksi defendan terakhir itu yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata demikian ketika disoal Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi pada perbicaraan kes saman Khairuddin terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta tujuh lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah SOSMA.

Tujuh individu terbabit ialah ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan ASP C. Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Superintenden Habibi Majinji, Masri, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta Kerajaan Malaysia.

Khairuddin dalam keterangannya sebelum ini berkata beliau telah membuat lima laporan polis di Paris, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain menafikan usaha membawa laporan polis ke negara terbabit bertujuan membuka kelemahan Malaysia kerana tidak mempercayai institusi Polis Diraja Malaysia selain ingin mensabotaj institusi perbankan dan kewangan negara.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri dalam keterangannya sebelum ini memaklumkan bahawa sebelum membuat laporan polis di luar negara, anak guamnya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember 2014.

Ia disusuli kewujudan jawatankuasa tindakan khas melibatkan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Khalid pada 15 Jan 2015 namun tiada tindakan efektif berlaku secara tepat pada masa itu.

Kepada soalan Mohamed Haniff Khatri sama ada saksi itu bersetuju bahawa beliau akan meminta laporan polis (luar negara) sekiranya beliau yang membuat keputusan untuk mendakwa (Khairuddin), Masri menjawab "Tidak setuju."

Mohamed Haniff Khatri: Apabila kes itu digugurkan pada 2017, adakah Datuk terbabit dalam keputusan tersebut?

Masri: Saya tidak tahu siapa buat keputusan kerana masa itu, saya telah dipindahkan ke tempat lain.

Ditanya Mohamed Haniff Khatri sama ada Masri bersetuju pendakwaan terhadap Khairuddin adalah curang kerana ia bukan dilakukan oleh pegawai di pejabat Pendakwa Raya sebaliknya atas arahan pucuk pimpinan kerajaan ketika itu.

"Saya tidak tahu sama ada wujud atau tidak arahan itu selain arahan Pendakwa Raya," katanya.

Sebelum ini, Masri memberitahu mahkamah bahawa beliau telah mendapat arahan daripada Datuk Seri Tun Majid Tun Hamzah yang merupakan Timbalan Peguam Cara Negara 1 ketika itu untuk menuduh dan mengendalikan pendakwaan ke atas Khairuddin serta keputusan itu dibuat tanpa pengetahuannya.

Selepas beliau selesai memberi keterangan, Andi Razalijaya memaklumkan mahkamah bahawa pihak defendan menutup kesnya.

Hakim Quay Chew Soon kemudian menetapkan 24 Ogos ini untuk keputusan yang berlangsung secara dalam talian (menerusi aplikasi Zoom) selain mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 13 dan 27 Julai.

Khairuddin, yang memfailkan saman itu pada Mei 2018, mendakwa beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan pada 23 Sept tahun sama.

Selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif telah ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes terhadap Khairuddin dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat serta melanggar hak kebebasan beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

-- BERNAMA