Pendapatan minimum pekerja gig ditentukan melalui perundingan berstruktur - KESUMA

Penentuan pendapatan minimum pekerja gig dilaksanakan melalui proses perundingan berstruktur di bawah kerangka Akta Pekerja Gig 2025, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
PUTRAJAYA: Penentuan pendapatan minimum pekerja gig dilaksanakan melalui proses perundingan berstruktur di bawah kerangka Akta Pekerja Gig 2025, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Ringkasan AI
- Penentuan pendapatan minimum pekerja gig dilakukan melalui proses perundingan berstruktur di bawah Akta Pekerja Gig 2025, yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
- KESUMA menegaskan bahawa kerangka itu diperlukan kerana pekerjaan gig memerlukan pendekatan yang sesuai dengan model operasi ekosistem platform, berbeza daripada pekerjaan konvensional.
- Akta tersebut memperuntukkan penubuhan Majlis Perundingan Gig (MPG) untuk membincangkan dan mencadangkan kadar pendapatan minimum pekerja gig, dengan rujukan gaji minimum negara pada RM1,700.
"Kadar gaji minimum RM1,700 yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan adalah sebagai rujukan kepada dasar gaji minimum negara yang sedang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia berhubung ucapan Menteri Sumber Manusia pada 26 Jan lepas, khususnya berkaitan rujukan kadar gaji minimum serta mekanisme penentuan pendapatan pekerja gig melalui Majlis Perundingan Gig (MPG) agar tidak berlaku salah faham.
Menurut KESUMA, MPG merupakan platform tiga pihak antara wakil kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak, selain Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) turut terdiri daripada anggota lain yang merupakan individu berpengetahuan dalam pasaran kerja dan ekosistem ekonomi gig.
"Majlis ini berfungsi menjalankan kajian, menganalisis data pasaran, meneliti amalan terbaik termasuk di peringkat antarabangsa serta membincangkan formula kadar pendapatan minimum secara menyeluruh sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan," menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan pendekatan itu memastikan sebarang kadar yang dicadangkan adalah berasaskan data sebenar, mengambil kira variasi sektor dan lokasi serta adil kepada pekerja gig di samping mampan untuk keseluruhan ekosistem.
"Penegasan Menteri Sumber Manusia bahawa sesuatu pendekatan perlu diperhalusi adalah selaras dengan keperluan untuk memastikan isu pendapatan minimum pekerja gig dibincangkan melalui mekanisme MPG supaya keputusan yang dicapai bersifat menyeluruh, seimbang dan berasaskan fakta.
"Ruang perundingan melalui MPG kekal terbuka dan merupakan saluran rasmi yang diwujudkan oleh undang-undang untuk tujuan tersebut," menurut kenyataan itu.
Menurut KESUMA, penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh perlindungan pekerja gig, menyediakan saluran perundingan yang tersusun serta memastikan isu pendapatan ditentukan secara institusi dan berasaskan bukti.
"KESUMA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kesejahteraan pekerja gig dipertingkatkan melalui mekanisme yang telah diwujudkan dan menyeru agar MPG diberi ruang untuk melaksanakan fungsinya demi mencapai penyelesaian yang adil dan mampan untuk ekosistem pekerja gig negara," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


