MALAYSIA
Pendaratan pesawat di Gimpo dirancang awal ekoran cuaca buruk di Incheon - AirAsia X

AirAsia X berkata, kapten tersebut telah memohon maaf kepada para penumpang atas kesulitan yang dialami dan menjelaskan pendaratan di Gimpo adalah semata-mata untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal.
KUALA LUMPUR: AirAsia X mengesahkan penerbangan D7506 dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 13 Ogos lalu telah mendarat dengan selamat pada pukul 10.54 malam susulan satu pelan yang dirancang lebih awal, menafikan dakwaan berlakunya pendaratan di lapangan terbang yang salah.
Ringkasan AI
- AirAsia X menafikan dakwaan pendaratan di lapangan terbang yang salah dan menjelaskan pesawat dialihkan ke Lapangan Terbang Gimpo untuk mengisi minyak akibat kesesakan trafik udara di Incheon susulan cuaca buruk.
- Berlaku salah faham dalam pengumuman kru kabin semasa mendarat, namun kapten segera memberi penjelasan dan memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan yang dialami.
- AirAsia X akan menilai semula prosedur pengumuman dalaman dan memberikan baucar perjalanan kepada penumpang terjejas sebagai tanda prihatin.
Syarikat itu berkata, kapten tersebut telah memohon maaf kepada para penumpang atas kesulitan yang dialami dan menjelaskan pendaratan di Gimpo adalah semata-mata untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, kejadian itu adalah situasi luar jangka ekoran cuaca buruk di Incheon.
“Keputusan mengalihkan penerbangan ke Gimpo diambil bagi mengelakkan kelewatan serta risiko mendarat dengan baki bahan api di bawah paras keperluan minimum.
“Selepas semua prosedur keselamatan dipatuhi, pesawat berkenaan berlepas semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan penumpang turun di destinasi asal,” jelasnya.
Beliau berkata, AirAsia X akan menilai semula prosedur pengumuman dalaman dan proses perkongsian maklumat di dalam pesawat bagi memastikan penjelasan lebih tepat dapt diberikan kepada penumpang pada masa hadapan.
“Sebagai tanda prihatin, AirAsia X akan memberikan baucar perjalanan dan menghubungi penumpang yang terjejas,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan terdapat dakwaan kononnya penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Incheon mendarat di lapangan terbang yang salah di Korea Selatan. - Dagang News
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami