Hanya berbekalkan pengisian kerohanian, ia sudah dapat membantu penagih dadah menghilangkan ketagihan mereka.

Kaedah itu digunakan di pusat pemulihan Madrasah Khairul Insan, di sini, untuk memulihkan ketagihan penghuninya tanpa menggunakan sebarang pengubatan khas.

Pengasasnya, Zulkiflie Ismail berkata sejak ditubuhkan pada 1997, madrasah itu telah menerima ribuan penagih yang datang secara sukarela bagi melepaskan diri daripada cengkaman dadah.

Beliau berkata tiada rawatan khas diberikan sebaliknya penghuni hanya diajar dengan ilmu agama seperti membetulkan solat, amalan zikir dan puasa bagi mendekatkan diri dengan Tuhan.

Katanya mereka yang masuk ke sini ada yang datang dari Terengganu, Kedah, Selangor dan Pahang terdiri daripada remaja, dewasa dan yang sudah berumur.

"Mula-mula (penghuni) masuk kami hanya biarkan sahaja mereka tidur atau lakukan apa sahaja yang mereka mahu kecuali merokok.

"Bekalan dadah juga memang tidak lepas masuk ke sini memandangkan lokasinya yang jauh ke dalam dan pemeriksaan oleh pihak pengurusan juga sangat ketat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Madrasah Khairul Insan baru-baru ini.

 Penghuni di pusat pemulihan Madrasah Khairul Insan di Jenagor, Kuala Berang dikenali Norazam, 44, (kiri) bersama rakan Shahrul, 19, bersiar-siar sekitar madarasah. - Bernama

Bagi memastikan penagih tidak mendapat gangguan luar ketika dalam proses pemulihan, mereka tidak dibenarkan keluar atau berjumpa dengan pelawat dalam tempoh enam bulan.

Zulkiflie berkata selain aktiviti keagamaan, penghuni juga didedahkan dengan seni budaya Melayu seperti silat dan terapi muzik bagi membangkitkan kesedaran, rasa bangga dan semangat jati diri mereka.

"Kita telah menubuhkan kumpulan kebudayaan 'Dendang Anak' yang dianggotai oleh penghuni di sini. Semua lagu yang dinyanyikan juga dicipta sendiri dengan memasukkan unsur-unsur ketuhanan dan alam semesta.

"Sepanjang penubuhan sebanyak 500 lagu telah berjaya dicipta dan kami juga turut menerima banyak jemputan daripada pihak luar yang tertarik dengan muzik serta bait-bait lirik yang kami persembahkan," katanya.

Sementara itu, seorang penghuni, Norazam Ahmad (bukan nama sebenar), 44, berkata dia sudah sembilan tahun berada di situ dan telah pulih sepenuhnya daripada masalah ketagihan dadah.

Walaupun sudah pulih, Norazam tidak berhasrat untuk berhijrah ke dunia luar kerana bimbang akan kembali ke kancah kehidupan lama.

-- BERNAMA