Pendekatan menyeluruh negara kunci utama pembinaan bandar lestari - Nga

Nga berkata kepimpinan Malaysia melalui kerjasama UN-Habitat-COP30 membantu mengukuhkan hubungan antara bandar dan perubahan iklim serta memastikan mandat global bagi tadbir urus pelbagai peringkat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pendekatan menyeluruh negara dengan sokongan kerjasama merentas sektor amat penting dalam pembinaan bandar lestari, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Ringkasan AI
- Pendekatan menyeluruh negara dengan sokongan kerjasama merentas sektor penting dalam pembinaan bandar lestari - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
- Memperkasakan perkongsian ilmu antara bandar penting bagi penggunaan penyelesaian terbukti oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negara - Nga.
- Pembinaan masa hadapan bandar perlu kolektif memandangkan bandar berada di barisan hadapan cabaran perubahan iklim dunia - Nga.
"Bandar yang lestari tidak boleh dicapai oleh satu kementerian, seorang datuk bandar atau satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan setiap sektor bersatu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian bersempena dengan persidangan Cities: Possibilities 2025 yang mendapat sokongan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Beliau yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat menekankan bahawa pembinaan masa hadapan bandar perlu secara kolektif memandangkan kawasan bandar berada di barisan hadapan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dunia.
"Tugas kami untuk menyediakan penyelesaian yang bukan sahaja pintar, tetapi juga lestari, inklusif serta berpandukan keperluan tempatan. Selain melaksanakannya pada peringkat tempatan, Malaysia juga komited untuk menjadi peneraju secara global," katanya.
Nga berkata kepimpinan Malaysia melalui kerjasama UN-Habitat-COP30 membantu mengukuhkan hubungan antara bandar dan perubahan iklim serta memastikan mandat global bagi tadbir urus pelbagai peringkat.
Dalam rantau ASEAN, Malaysia terus menjadi peneraju agenda bandar pintar yang lebih inklusif dan berdaya tahan, termasuk usaha menaik taraf Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN) kepada platform peringkat menteri menjelang 2026.
Amalan terbaik Malaysia juga diadaptasi secara serantau, antaranya pemuliharaan bandar berasaskan warisan di Melaka dan model perancangan di Pulau Pinang.
Pada peringkat kebangsaan pula, beliau berkata transformasi bandar yang berkesan bermula dengan memperkasakan PBT.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


